Bismillahirrahmanirrahim..
Seperti biasa ku mengikuti kuliah di Kompleks Yayasan Al-Jenderami yang terletak hanya 5 minit dari rumahku. Alhamdulillah, syukur lillah masih dikurniakan kesempatan untuk turut sama di taman-taman syurga Allah di mana para malaikat memayungi setiap insan yang mengahdiri yang sememangnya iman mereka sentiasa mendahagakan ilmu sebagai bekalan menuju Robbi. Fokus kuliah kali ini berhubung usia umat Rasulullah saw yang singkat cuma berbanding umat terdahulu daripadanya. Kita selusuri kembali usia penghidupan tokoh-tokoh besar Islam seumpama Imam Syafie dan Imam Al-Ghazali dimana kematian menjemput mereka pada usia 54 tahun manakala Imam Nawawi menghadap Ilahi seawal usia 44 tahun. Subhanallah. Terdapat satu quotes di mana dikatakan bahawa “Life begins at 40”. Pernah ku mendengar orang berkata jika hendak dilihat corak kehidupan yang akan dibawa seseorang itu sehingga ke liang lahad, lihatlah corak kehidupan yang dibawa olehnya selepas umurnya menjangkau 40 tahun, jika jahiliyah yang dibawa, maka jahiliyahlah sehingga akhir hayatnya, jika baik akhlaknya baiklah juga ke pengakhirannya. Wallahua’lam. Semua itu hidayah Allah, apa yang berlaku semuanya di atas kehendak Allah jua. Ku terbaca baru-baru ini terdapat seorang muallaf yang memeluk Islam pada usia 54 tahun, MasyaAllah, pokok pangkalnya sejauhmana seseorang itu mahukan perubahan dalam dirinya dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam jiwa hambaNya.
Berbalik kepada kuliah Ustaz Hafiz tadi, beliau menyatakan bahawa dalam kehidupan ini tidaklah boleh kita menangguhkan dalam melaksanakan amal kebaikan terutamanya yang dituntut oleh Islam. Beliau turut menyampaikan bahawa pabila tibanya usia 40 tahun dan masih tidak menjahuhi dirinya dari melakukan maksiat maka ahli nerakalah mereka selagimana mereka tidak bertaubat menjauhi kemungkaran. Bagi yang istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan menjauhi kemaksiatan belum tentu juga terjamin imannya selagimana tidak diuji. Oleh itu janganlah kita takabbur dalam setiap amal yang kita lakukan. Zaman kini merupakan zaman bala’ serta usia umat Rasulullah juga kebanyakkannya pendek. Maka dalam hal beragama perlulah difikirkan dengan lebih serius dan tidak menangguhkan segala bentuk amalan. Sekali sudah terdetik di hati, maka laksanakanlah ia, sesungguhnya gerak hati itu jua datangnya dari Allah. Jika terpesong dari jalan kebenaran maka bersegeralah bertaubat sebelum datangnya bala’ Allah.
Dalam membincangkan persoalan ini, melihat kepada generasi muda kini, mereka yang bakal menjadi pewaris tampuk kepimpinan masa akan datang, bersediakah mereka? Layakkah mereka? Melihat kepada kondisi remaja yang rata-rata terdedah dengan fatamorgana dunia, sungguh tenat, terutamaku yang duduk di sekitar pantai barat melihat rapuhnya mereka dalam berhadapan dengan fantasi dunia yang sungguh melalaikan, dengan isu semasa yang membentangkan pembuangan bayi sana sini, adakah didikan ibu bapa juga perlu dipersalahakan di sini? Sama-sama mencari penyelesaian dan tidak hanya menunding jari. Islam sudah mengaturkan cara kehidupan cukup indah sekali, bagi yang belum mendirikan rumahtangga, maka percepatkanlah ia setelah cukup segala keperluan, pesanan ustaz Hafiz itu membuatku memikirkan rata-rata wanita zaman kini yang lebih sibuk mementingkan pangkat serta lalai dengan kehidupan hedonism. Pesannya lagi, seorang lelaki itu pabila tiba usianya 25 tahun maka bernikahlah serta wanita yang cukup umurnya dan ilmu berkaitan rumahtangga dirikanlah masjid. Dalam Islam juga digalakkan mendapatkan anak seramai mungkin sebelum usia menjangkau 30 tahun dan InsyaAllah terdapat satu kajian psikologi yang menyatakan bahawa anak-anak yang dilahirkan ini berpotensi dikurniakan akal fikiran yang cerdas dan sihat.janganlah dirisaukan soal rezeki kerana setiap rezeki anak itu sudah ada jaminannya dari Allah tetapi yang belum tentu jaminannya ialah iman kita. Melihat kepada Psikologi Islam pula, setiap pasangan itu digalakkan bernikah awal supaya dapat mendidik anak-anak sebelum tempoh usia tua. Hal ini kerana apabila menjangkau usia 40 tahun, ibu bapa ini boleh memberi tumpuan dengan amal ibadah dan tidak lagi disibukkan dengan mendidik anak-anak yang masih kecil mungkin lantaran family planning pada awalnya atau nikah pada usia yang lewat. Hal ini kerana usia umat zaman sekarang cukup singkat sekali, tiadalah masa sebenarnya untuk kita membazir waktu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan melalaikan.
Jika dikoreksi diri, sungguh kehidupan selama 23 tahun ini masih lagi di awang-awangan tanpa hala tuju yang jelas. Iman seringkali digundah rasa lemah lantaran tidak istiqamah dalam beramal, sangat merindui sahabat-sahabat di kampus, halaqah, tazkirah… Moga diberi kekuatan dalam meneruskan kehidupan yang penuh panca roba.. YaAllah, moga YaAllah berikan kekuatan dalam mengharungi segala apa yang akan berlaku pada masa akan datang yang sudah tentnuNya Engkau lebih Maha Mengetahui Ya Robbi…~
No comments:
Post a Comment